ISTANBUL, Turki pernah dikenali sebagai ‘Islambul’ yang bermaksud Kota Islam yang dibelah dua oleh Selat Bosphorus, memisahkan benua Asia dari Eropah.
Menara masjid yang kelihatan di mana saja di kota itu menggambarkan pengaruh Islam yang kuat sepanjang 471 tahun era Uthmaniyah di Istanbul.
Sejak 1453 hingga 1924 iaitu dari detik Muhammad Al-Fateh membuka kota Constantinople hingga ke saat Mustafa Kamal Atarturk mengisytiharkan berakhirnya institusi Khalifah Uthmaniyah di Turki, 1001 peristiwa tercatat di lembaran sejarah Islam.
Keagungan Sultan Sulaiman Al-Qanuni, pembina empayar Uthmaniyah yang mewariskan kemegahan Islam melalui perluasan jajahan takluk dan penyebaran agama Islam, masih disebut hingga hari ini.
Mungkin kejayaan itulah yang menjadi inspirasi kepada Sultan Aceh, Sultan Alauddin Riayat Syah Al-Qahhar, hingga merangsang beliau menghantar wakil diplomatik ke Istanbul.
Rombongan Aceh tiba di Istanbul dengan kapal bermuatan lada, komoditi paling berharga zaman itu ditugaskan Sultan Alauddin mempersembahkan lada yang dibawa kepada Sultan Sulaiman.
Lada yang dibawa itu juga menjadi sumber perbelanjaan selama rombongan itu di Istanbul menanti dibenarkan menghadap Sultan Sulaiman yang sedang memimpin tenteranya di Hungary.
Akhirnya, Sultan Sulaiman mangkat pada 1566 dan jasadnya dibawa pulang untuk dimakamkan di Masjid Sulaimaniye, Edirne.
Cubaan rombongan Aceh untuk menghadap khalifah yang baru juga tidak pernah berjaya, sedangkan mereka sudah terlalu lama di Turki dan bekalan lada yang dibawa semakin hari semakin susut dijual di pasar.
Suatu hari khalifah melawat pasar dan kesempatan keemasan itu dimanfaatkan utusan Aceh untuk menyampaikan salam sultan mereka serta mempersembahkan hadiah kepada khalifah iaitu secupak lada, baki terakhir bekalan mereka.
Ancaman Portugis di Nusantara turut diceritakan kepada sultan, maka baginda mengerahkan armadanya bersama meriam Turki, tukang mahir membuat meriam dan senjata api pulang bersama rombongan Aceh.
Sempena peristiwa bersejarah itu, meriam Turki yang dihantar ke Aceh.
Pelabuhan Melaka bersejarah adalah kota rebutan di Selat Melaka yang menyaksikan kehadiran tiga kuasa Eropah sejak 1511 berpunca daripada perdagangan rempah yang dikuasai pedagang Islam yang berulang alik antara dunia timur dan barat.
Sebelum berdirinya kesultanan Melayu Melaka, di Samudera Pasai sudah terbina sebuah kesultanan Islam menguasai perdagangan lada yang sultannya bersambung nasab dengan Rasulullah SAW.
Samudera Pasai yang terkenal kerana sultannya menghormati ulama dan menyokong usaha penyebaran Islam menjadi tumpuan persinggahan pedagang Islam dari India, Parsi dan Yaman.
Sultan Melaka memeluk Islam dan menjadi menantu Sultan Pasai 97 tahun sebelum pencerobohan Portugis ke atas Melaka dan sejak itu ulama Pasai sering mengunjungi istana Melaka bagi membimbing sultannya.
Pada masa sama, pelabuhan Melaka semakin sibuk dikunjungi pedagang Islam selama lebih sembilan dekad berikutnya, sebelum armada Portugis tiba bersama meriam yang menghancurkan pertahanan Kota Melaka.
Senjata api dan teknik pertempuran Eropah mengatasi senjata tradisional perajurit Melaka, tetapi apabila peperangan menentang Portugis diisytihar sebagai jihad oleh ulama ketika itu, Melaka dipertahan habis-habisan.
Berikutan kejayaan delegasi Aceh ke Istanbul, dengan sokongan armada Turki, Sultan Alauddin melancarkan dua serangan ke atas Portugis di Melaka pada 1568 dan 1570.
Sekalipun tidak berjaya mengusir penjajah dari Melaka, kesultanan Aceh memberi isyarat jelas kepada Portugis bahawa Aceh bukan negara belasahan dan kerajaan Islam itu turut mempunyai sekutu disegani di Eropah.
beginilah hubungan antara negara aceh dengan istanbul...... makanya kita liat bendera negara aceh sama persis dengan bendera negara turki seperti bendera GAM sekarang......? gimana menurut rekan rekan sekalian....
You Might Also Like :
0 comments:
Post a Comment